Tapi Kamu Bagai Buih…

Asy Syaikh Salim Al Hilali

Hakikatnya telah pun diisyaratkan, peringatannya adalah jelas, tanpa keraguan. Jelas tanpa kekaburan. Terang tanpa terselubung kabus yang menutup pandangan.

Dalam   hadith   dari   Tsauban   r.a   maula   Rasulullah   s.a.w   ketika   beliau   berkata:

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hampir terjadi keadaan yang mana ummat-ummat lain akan mengerumuni kalian bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya. “Salah seorang Sahabat berkata; “Apakah kerana kami sedikit ketika itu?” Nabi berkata: Bahkan, pada saat itu kalian banyak jumlahnya, tetapi kalian bagai ghutsa’ (buih kotor yang dihanyutkan air ketika banjir). Pasti Allah akan cabut rasa segan yang ada di dalam dada-dada musuh kalian, kemudian Allah campakkan kepada kalian rasa wahn”

Kata para Sahabat: “Wahai Rasulullah, apakah Wahn itu?”

 Baginda bersabda: “Cinta dunia dan takut mati”.

(Hadith Riwayat Abu Daud no. 4297, Ahmad 5/278, Abu Nu’aim dalam At Hilyahm.s. 182 dengan dua jalan dan dengan keduanya hadith ini menjadi sahih)

Hadith yang menceritakan tentang “wahn” ini menunjukkan keadaan umat Islam:

Pertama: Musuh-musuh Allah dari kalangan tentera Iblis serta pendukung syaitan selalu mengintai-ngintai perkembangan ummat Islam serta negara mereka. Kerana mereka telah melihat penyakit “wahn” ini telah merasuki kaum muslimin. Penyakit ini telah menyembelih leher-leher ummat Islam. Maka mereka menerkamnya dan menyembunyikan sisanya.

Kaum kuffar dan musyrikin ahlul kitab selalu melakukan hal demikian sejak munculnya fajar Islam. Dan ini berlaku ketika daulah Islam yang murni yang diasaskan dan dikukuhkan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah dan sekitarnya.

Ini ditegaskan dalam hadith yang menceritakan tiga orang yang sengaja tidak ikut berperang (Hadith riwayat  al-Bukhari dan Muslim), sebagaimana dikatakan oleh Ka’ab bin Malik r.a.: “…Ketika aku berjalan di pasar Madinah, tiba-tiba ada seorang petani dari petani-petani negeri Syam  yang membawa makanan untuk dijual di Madinah berkata: Siapa yang boleh menunjukkan Ka’ab bin Malik kepadaku? Maka orang ramai memberitahunya, lalu dia datang kepadaku dan menyerahkan kepadaku sepucuk surat dari raja Ghassan. Dan aku adalah seorang yang pandai membaca, maka aku baca surat itu yang tertulis: Amma ba’du, telah sampai kepada kami berita bahawa teman-temanmu bersikap keras kepadamu. Dan Allah tidak akan membiarkanmu berada di negeri yang penuh dengan kehinaan dan kesempitan, maka datanglah dan bergabunglah dengan kami, kami akan melindungimu”.

Perhatikan, wahai saudara muslim yang bijaksana dan cuba renungkan, wahai saudara yang dikasihi, bagaimana orang-orang kafir selalu mengawasi berita-berita daulah Islam. Bila ada kesempatan, mereka akan menerkamnya dari segala penjuru. Itu juga dijelaskan dengan:

Kedua: Sesungguhnya ummat-ummat kafir saling membantu dan bergabung untuk menyerang Islam, daulahnya, pemeluknya dan para da’inya.

Siapa yang membaca sejarah perang Salib, akan memahami hakikat ini, di mana Bani Ashfar mempersiapkan pasukannya untuk membinasakan daulah khilafah. Telah jelas hal ini  seperti jelasnya cahaya matahari di tengah hari.

Dan mereka menyempurnakannya dengan membentuk “Kelompok”, kemudian “Badan Organisasi”, kemudian “Dewan”, kemudian “Organisasi Dunia”, untuk membakar semangat mereka dengan slogan-slogan. Juga:

Ketiga: Negeri-negeri Islam adalah sumber-sumber kebaikan dan berkah. Maka ummat- ummat kafir ingin menguasainya. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w menyamakannya dengan makanan yang lazat yang membuka selera, maka mereka menyerbunya, dan setiap dari mereka seolah macam singa ingin mendapat bahagiannya.

Keempat: Orang-orang kafir membuat negeri-negeri Islam menjadi kelompok yang terpecah-pecah dan terpisah-pisah, sebagaimana dalam hadith Abdullah bin Hawalah r.a.: Rasulullah s.a.w:

“Nanti kamu akan menjadi pasukan yang berpuak-puak. Satu kelompok di Syam, satu kelompok di Iraq, dan satu kelompok di Yaman.” kata Sahabat: Berilah pilihan, wahai Rasulullah. Maka beliau bersabda: “Pilihlah yang di Syam, siapa yang enggan, maka yang di Yaman. Dan hendaklah dia minum dari airnya, kerana Allah menjaminkan untukku negeri Syam dan penduduknya”.

Rabi’ah berkata: Aku mendengar Idris Al Khaulani menyampaikan hadis ini dan berkata: “Dan siapa yang dijamin Allah tidak akan rugi”.

Bukankah ini realiti umat Islam masa kini? Mereka menjadi negara-negara yang terpisah. Tidak punya wibawa. Tidak mempunyai kuasa untuk mengurus sama ada di dalam dan di luar negerinya dengan bebas. Semuanya diatur oleh orang kafir. Hanya Allah yang kita minta pertolongannya dan kepadanya kita bertawakkal.

Kelima: Kini, orang kafir tidak hormat lagi kepada kaum muslimin, kerana mereka (kaum muslimin) sudah kehilangan wibawanya di hadapan umat-umat lain. Yang mana suatu ketika dulu wibawa itu membuat gementar lutut dan sendi-sendi orang kafir dan pasukan Iblis. Ini adalah kerana senjata pemusnah milik kaum muslimin tidak lagi ditakuti oleh orang kafir.

Allah berfirman:

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah“. (Surah Ali Imran, Ayat  151)

Rasulullah s.a.w bersabda;

“Aku ditolong Allah dengan musuh mengalami rasa takut, padahal aku masih sebulan perjalanan ke sana”.

Keenam: Unsur-unsur kekuatan ummat Islam bukan pada ramai jumlahnya dan kekuatannya, pasukan tempurnya dan kesombongannya, pasukan infantrinya dan para komandannya, tapi pada aqidahnya dan manhajnya. Kerana umat ini adalah umat tauhid dan pendokong panji-panji tauhid.

Apakah engkau tidak dengar sabda Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan seorang Sahabat tentang jumlah: “Bahkan kamu ketika itu ramai!”?

Perhatikan pengajaran dari perang Hunain, akan engkau dapati dia menjadi contoh di sepanjang masa.

“…dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun. ” (Surah At Taubah, Ayat 25)

Ketujuh: Kedudukan umat Islam tidak dihiraukan sedikitpun di kalangan bangsa-bangsa di muka bumi, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Akan tetapi kamu bagai buih, seperti buih banjir.”

Sabda ini menjelaskan beberapa hal:

  1. Buih yang mengalir membawa banyak kotoran bersamanya. Begitu juga umat Islam, berjalan bersama kotoran umat kafir.
  • Banjir membawa buih yang tidak bermanfaat bagi manusia. Begitu juga umat Islam, tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap bangsa-bangsa lain, iaitu Amar Ma’ruf dan  Nahi Mungkar.
  • Buih akan segera luput. Dan kerana itu Allah akan mengganti siapa yang berpaling dan menguatkan kelompok yang bermanfaat bagi manusia di muka bumi.
  • Buih yang dibawa banjir bercampur dengan kotoran tanah. Begitu juga pemikiran    majoriti umat Islam telah dikotori dengan sampah filsafat dan budaya yang rosak.
  • Buih yang dibawa oleh banjir tidak tahu akan berakhir di mana kerana dia berjalan bukan atas keinginannya. Dia seperti orang yang menggali kuburnya dengan kukunya. Begitu juga umat Islam, tidak tahu apa yang sedang direncanakan musuh-musuhnya ke atas diri  mereka. Anehnya, mereka masih saja membebek dan mengikuti mana yang lebih keras laungannya dan bersikap bagai pucuk lalang yang bergerak ke mana angin meniupnya.

Kelapan: Umat Islam menjadikan dunia sebagai matlamat utamanya. Matlamatnya ketika menuntut ilmu. Oleh kerana itulah mereka menjadi takut mati. Cinta dunia kerana mereka memeriahkan dunia hingga lupa kepada kampung akhirat.

Rasullullah   s.a.w   telah   mengingatkan    hal    yang    bakal    menimpa    umatnya. Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash dari Nabi s.a.w, Baginda bersabda: Bila Parsi dan Rom ditakluk, di kaum mana kamu? Abdurrahman bin Auf berkata: Kami akan berposisi seperti yang Allah perintahkan kami (iaitu akan memuji-Nya, bersyukur kepada-Nya dan meminta tambahan dari nikmat-Nya. (Lihat An Nawawi 18/96),

Kata Baginda: Jangan sampai selain itu, iaitu kamu akan saling berlumba-lumba, kemudian saling mendengki, kemudian saling membelakangi, kemudian saling membenci – atau yang sejenisnya – kemudian kamu berjalan di hadapan muhajirin yang miskin dan sebahagian kalian memakan sebahagian”. (Hadith riwayat Muslim no. 2962)

Oleh kerana itu ketika diserahkan perbendaharaan Parsi, Umar bin At Khaththab r.a.  menangis dan berkata: “Sesungguhnya harta ini jika dibukakan kepada suatu umat, Allah jadikan permusuhan di antara mereka”.

Kesembilan: Orang-orang kafir tidak akan mampu menghancurkan umat Islam, walau mereka bersatu dari segala penjuru – dan mereka memang sudah bersatu -, sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam hadith Tsauban r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah telah melipat bumi ini bagiku, maka aku melihat bahagian timur dan baratnya. Dan umatku akan sampai kekuasaan mereka seperti yang ditunjukkan kepadaku. Aku juga diberi perbendaharan merah dan putih (emas dan perak yang itu adalah harta benda kerajaan Parsi dan Rom) dan aku meminta kepada Allah untuk umatku agar tidak dibinasakan dengan kelaparan setahun yang membinasakan mereka. Dan agar jangan sampai mereka dikuasai musuh selain diri mereka sendiri hingga akan dihancurkan mereka hingga akar-akarnya”. Dan Allah telah berfirman :

“Wahai Muhammad, Sesungguhnya Aku bila menetapkan suatu ketetapan, maka itu tidak mampu ditolak. Aku memberikan bagi umatmu untuk tidak dibinasakan dengan kelaparan setahun. Dan Aku tidak jadikan berkuasa mereka satu musuhpun selain diri sendiri yang akan menyerang mereka sendiri walau musuhnya sudah bersatu dari berbagai penjuru. Hingga di antara mereka sendiri yang saling menghacurkan satu sama lain”. (Hadith riwayat Muslim  no. 2889)

Maka apa yang mampu membuat sebuah pohon yang teguh yang akarnya menancap ke bumi dan cabangnya mencakar ke langit menjadi sia-sia?!

Disaring dari : Buletin Dakwah Al Minhaj Edisi VI/Th.I  www.darussalaf.or.id )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s