Talbis Iblis Terhadap Para Ulama’

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Diantara manusia ada yang memiliki cita-cita dan semangat yang tinggi, sehingga mereka mampu mendalami berbagai cabang ilmu syariat seperti ilmu Al-Quran, hadith, fiqih dan sastera. Lalu Iblis datang kepada mereka dengan “talbis” (tipu daya)nya yang lembut, sambil membisikkan supaya merasa sombong kerana mereka mampu mendalami berbagai macam ilmu dan mampu menyebarkan manfaat kepada orang lain.

Diantara mereka ada yang tidak pernah jemu menggali ilmu dan merasakan kenikmatan dalam penggalian ini, yang tentu saja disebabkan oleh bisikan Iblis. Iblis bertanya kepadanya, “Sampai bila engkau merasa letih melakukan semua ini? Tenangkan badanmu dalam memikul beban ini dan lapangkan hatimu dalam menikmati ilmu. Jika engkau melakukan kesalahan, maka ilmu dapat melepaskan dirimu dari hukuman”. Lalu Iblis berbisik kepadanya tentang kelebihan yang dimiliki para ulama’. Jika seseorang tergelincir dan menerima bisikan serta talbis Iblis ini, maka dia akan celaka. Jika tidak, dia akan dapat berkata, “Jawaban atas pernyataanmu dapat ditinjau dari tiga sisi:

l. Memang para ulama’ diutamakan disebabkan ilmu. Namun andaikan tidak ada amal, maka ilmu itu tidak bermakna apa-apa. Jika aku tidak mengamalkannya, bermakna aku sama sahaja dengan orang yang tidak mengerti maksudnya, hingga keadaan diriku tidak ubah seperti orang yang mengumpulkan makanan dan memberikan makanan itu kepada orang-orang yang lapar, tapi dia sendiri tidak makan dan tidak memanfaatkan makanan itu untuk menghilangkan rasa laparnya.

2. Dapat menyanggahnya dengan celaan yang ditujukan kepada orang yang tidak mengamalkan ilmu, seperti cerita Rasulullah s.a.w tentang seseorang yang dilemparkan ke dalam neraka, lalu ususnya terburai, seraya berkata, “Dulu aku menyuruh kepada yang ma’ruf namun aku tidak melaksanakannya, dan aku mencegah dari yang mungkar, namun aku melakukannya”. (Hadith diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Abud-Darda’ r.a. berkata, “Celaka bagi orang yang tidak berilmu (sekali), dan kecelakaan bagi orang yang berilmu namun tidak beramal (tujuh kali)”.

3. Menyebutkan hukuman bagi orang-orang yang berilmu, tetapi tidak mahu mengamalkan ilmunya, seperti Iblis dan lain-lain. Celaan terhadap orang yang berilmu namun tidak beramal adalah dari firman Allah,

“Seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal”. (Surah Al-Jumu’ah, Ayat 5)

Iblis memperdaya orang-orang yang mendalami ilmu tetapi tidak beramal dengannya. Iblis mengelokkan di hadapan mereka sikap sombong kerana ilmu, dengki terhadap saingan, riya’ dalam mencari kedudukan. Kadang-kadang Iblis menunjukkan kepada mereka, bahawa yang demikian itu termasuk kewajipan yang perlu mereka lakukan. Jika tidak melakukannya, mereka berasa seperti melakukan suatu kesalahan.

Jalan keluar bagi siapa yang ingin selamat dari dosa takabur, dengki dan riya’ ialah mengingati bahawa ilmu tidak mampu menghalang akibat sifat-sifat itu, bahkan hukumannya akan berlipat kali ganda kerana bertambahnya hujjah ke atas kesalahan itu. Siapa yang mengkaji sirah para ulama’ salaf yang begitu gigih beramal baik, tentu akan memandang hina dirinya sendiri dan tidak berani bersikap takabur. Siapa yang mengenali Allah, tentu tidak akan berbuat riya’, dan siapa yang memperhatikan takdir Allah yang ditetapkan menurut kehendak-Nya, maka dia tidak akan berani berdengki.

Iblis menyusup ke dalam diri mereka sambil membisikkan syubhat dengan cara yang pintar, sambil berkata, “Yang kamu cari adalah ketinggian kedudukan dan bukan takabur, kerana kamu adalah para pembawa syariat. Yang kamu cari adalah kemuliaan agama dan membenteras ahli bid’ah. Jika kamu bercakap kepada orang-orang yang dengki, ianya akan menyebabkan mereka marah terhadap agama. Para pendengki itu suka mencela sesiapa saja yang menentang mereka. Jadi apa yang kamu anggap sebagai riya’, ianya sama sekali bukan riya’. Sebabnya kamu akan menjadi ikutan, sekalipun hanya berpura-pura khusyu’ dan berpura-pura menangis, sebagaimana seorang doktor yang akan dipercayai oleh orang sakit”.

Talbis Iblis ini akan terdedah, jika ada seseorang di antara mereka yang bersikap sombong kepada yang lain atau menampakkan kedengkian kepadanya, maka ulama’ itu tidak marah kepadanya seperti kemarahannya jika kesombongan atau kedengkian itu tertuju kepada dirinya, sekalipun mereka semua termasuk dalam kelompok ulama’.

Iblis juga memperdaya orang-orang yang menekuni ilmu, sehingga mereka senantiasa berjaga pada malam hari dan tekun pada siang hari dalam menyusun kitab. Iblis membisikkan kepada mereka bahwa maksud perbuatan ini ialah menyebarkan agama. Padahal maksud mereka yang sesungguhnya adalah agar supaya namanya terkenal dan dia dikenali sebagai penulis terbilang. Talbis Iblis ini tersingkap, bila orang ramai memanfaatkan karyanya dan membacanya, sementara karya orang lain tidak dibaca, maka dia merasa gembira, sekalipun memang tujuannya untuk menyebarkan ilmu. Diantara orang salaf ada yang berkata, “Apa pun ilmu yang kumiliki, lalu ada yang memanfaatkannya, sekalipun tanpa menisbahkannya kepada diriku, maka aku merasa gembira”.

Diantaranya ada yang merasa senang disebabkan ramai pengikutnya. Iblis membisikkan talbis (tipu daya), bahawa keseronokan ini kerana ramainya orang yang mencari ilmu. Padahal dia gembira kerana ramai orang yang menyebut tentang dirinya. Dia merasa ujub kerana kata-kata dan ilmu mereka yang timba darinya. Talbis Iblis ini terserlah, ketika ada diantara mereka yang memisahkan diri darinya lalu bergabung dengan ulama’ lain yang lebih terkenal darinya, maka dia merasa berat hati. Yang demikian ini bukan merupakan sifat orang-orang yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu. Perumpamaan orang yang ikhlas dalam mengajar ialah seperti doktor yang merawat pesakit kerana Allah. Jika ada pesakit yang sembuh, maka yang lain merasa gembira.

Ada para ulama’ yang selamat dari talbis Iblis yang terang. Tapi Iblis tetap mendatangi mereka dengan talbisnya yang tersembunyi, seraya berkata kepadanya, “Aku tidak pernah bertemu seseorang seperti dirimu”. Jika ulama’ itu gembira dengan ucapan seperti ini, maka dia telah melakukan kesalahan kerana ujub. Jika tidak, bermakna dia telah selamat.

As-Sary As-Sagathy berkata, “Sekiranya seseorang memasuki sebuah kebun yang di dalamnya ada semua pokok-pokok yang diciptakan Allah, ada semua burung yang diciptakan Allah, lalu makhluk-makhluk itu berkata kepadanya dengan bahasanya masing-masing, “Wahai wali Allah, lalu dia merasa senang mendengarnya, maka dia menjadi tawanan di tangan makhluk-makhluk itu. ”

Dikutip dan disaring dari Talbis Iblis karya Ibnul Jauzy, Edisi terjemahan “Perangkap Syetan” Penerbit Pustaka Al-Kautsar.

Sumber: http://www.al-ahkam.net/home/content/talbis-iblis-terhadap-para-ulama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s