UJIAN AKAN MENINGKATKAN KETAQWAAN

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh: Madihah Rushaidhi

Hidup bagaikan ayunan ombak, terkadang di atas, terkadang di bawah. Hari ini senyuman terukir dan kehidupan terasa begitu bermakna, hari esok mungkin ujian menimpa. Berlinanganlah air mata dan kehidupan terasa begitu mencengkam serta mendukacitakan. Begitulah norma kehidupan kita, sentiasa diuji dan teruji.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, Ayat 2-3)

Di saat kita diuji, bagaimanakah kita menghadapinya? Bercakap secara teori dan berhadapan dengannya secara realiti adalah dua perkara yang jauh berbeza. Di sinilah jatidiri, akhlak dan peribadi memainkan peranan dalam mencorak sikap, serta pandangan kita terhadap ujian yang ditimpakan ke atas diri kita. Keyakinan terhadap janji Allah s.w.t. juga menjadi penentu kepada reaksi seseorang terhadap ujian-ujian ini. Akan cepat melatahkah kita? Akan mula menyalahkan orang lainkah? Atau akan terfikir bahawa ujian ini tidak adil atau tidak baik untuk diri kita?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 216)

Berdepan dengan ujian bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan ianya amat sukar. Ujian kelihatan seperti satu mudarat, kecelakaan atau sesuatu yang amat dibenci, namun melepasi ujian adalah satu hakikat kejayaan yang sebenar. Melepasi ujian dengan bersabar dan penuh ketaatan serta keyakinan terhadap janji-janji Allah s.w.t. adalah satu ketaatan. Seorang pendakwah Islam yang berasal dari Amerika Syarikat, Dr. Bilal Philip dalam ceramahnya mengajukan satu persoalan yang amat menarik. Apakah yang membuatkan syaitan menjadi kufur setelah Allah s.w.t. memerintahkannya sujud kepada Nabi Adam a.s.? Pelbagai jawapan dilontarkan.

“Kerana sifat angkuh syaitan”.

Jawapannya, tidak. Angkuh tidak menjadikan seseorang itu kufur.

“Kerana dia ingkar dan tidak taat”.

Tidak juga. Berapa ramai Muslim yang ingkar dan tidak taat tetapi tidak jatuh kufur.

Akhirnya, seseorang menjawab dengan jawapan yang dikehendaki: “Kerana dia mempersoalkan perintah Allah s.w.t., serta mendakwa dia lebih baik daripada penciptaan Adam a.s.”

Dr. Bilal Philip selanjutnya menjelaskan, kerana perbuatan syaitan ini seolah-olah mempersoalkan dan menidakkan kekuasaan, serta pengetahuan Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Syaitan gagal dalam ujian ini kerana mempersoalkan sesuatu yang tidak di dalam pengetahuannya, sedangkan malaikat penuh ketaatan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. dalam melaksanakan perintah-Nya:

‘’Mereka (para malaikat) menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 32)

Maka, malaikat kekal menjadi makhluk yang mulia serta dihormati, sedangkan syaitan menjadi kufur, dilaknat dan tercela selama-lamanya. Kisah kekufuran syaitan ini seharusnya menjadi iktibar buat kita, agar tidak mengikut jejak langkahnya ketika diuji. Tidak menyalahkan ketentuan takdir serta tidak mempersoalkan Yang Maha Mencipta di atas apa-apa aturan yang telah ditentukan buat kita. Bahkan, semestinya, kita meneguhkan keyakinan dan pergantungan kepada Allah s.w.t. kerana di dalam firman-Nya, Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa ujian yang ditimpakan ke atas kita, sekali-kali tidak melebihi keupayaan kita untuk menghadapinya:

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 286)

 
Menghadapi ujian juga seharusnya disandarkan pada asas keimanan yang kukuh, iaitu dengan penuh kesabaran serta penuh usaha dan kesungguhan, dan diakhiri dengan penyerahan secara total kepada ketentuan Allah s.w.t. Kerana fitrah alam ciptaan Allah ini, menuntut satu aturan atau asbab kepada sesuatu natijah atau hasil akhir. Sesuatu perkara tidak akan berubah tanpa usaha-usaha perubahan dilaksanakan ke atasnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)”. (Surah Ali-Imran, Ayat 200)

Apakah perisai atau kekuatan yang dapat dipergunakan bagi memperkukuhkan keimanan serta keyakinan sewaktu menghadapi ujian? Sudah pastilah hubungan yang akrab dengan Rabb yang menciptakan diri serta menentukan ujian ini antara pra-syarat utama. Diajarkan kepada kita daripada Kalam Allah Yang Maha Suci:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 45)

Juga di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w bersabda:

“Peliharalah Allah, nescaya engkau dapati Allah di hadapanmu. Ingatlah Allah di masa lapang, nescaya Dia mengingatimu di masa sukar”. (Hadith riwayat at-Tirmidzi).

Di dalam syarahnya, Imam an-Nawawi menerangkan, maksud “Peliharalah Allah” adalah memelihara hukum-Nya, hak-Nya, perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Bagi hamba-hamba yang memelihara keseluruhan aspek ini, pastilah pemeliharaan Allah ke atasnya juga terlaksana. Iaitu Allah akan memelihara agama dan imannya daripada dinodai sesuatu yang haram dan sentiasa diberikan hidayah agar kembali kepada Allah s.w.t. Inilah semulia-mulia pemeliharaan yang diharap-harapkan dari Allah s.w.t. Sesungguhnya kekuasaan dan rahmat serta kasih sayang Allah s.w.t. terlalu luas, tidak berkurang walau sedikit pun dari kekuasaan-Nya ini andai kita memohon pertolongan dari-Nya, maka pohonkanlah! Selain itu, kita dianjurkan juga untuk mengingati Allah s.w.t. di masa lapang kerana mengingati-Nya di waktu sukar dan diuji kadangkala lebih sukar.

Salman Al-Farisi pernah menyebut: “Apabila seorang lelaki selalu memohon kepada Allah s.w.t. pada waktu senang, kemudian dia memohon kepada Allah s.w.t. di waktu susah, maka berkatalah malaikat: Suara ini sudah terkenal. Maka tolonglah pemilik suara ini. Sebaliknya jika suara itu tidak dikenal kecuali di masa susah, malaikat akan berkata, selama ini suaranya tidak pernah dikenal, maka tak usahlah ditolong akan dia”.

Ujian, jika dilihat dari satu sudut pandang berbeza, juga merupakan sebuah rahmat kerana melalui ujian, seseorang dapat kembali mengalihkan perhatiannya kepada Allah s.w.t. setelah sekian lama berjauhan akibat kesibukannya dengan urusan dunia dan hariannya. Apabila ditimpa ujian, fitrahnya akan memanggilnya untuk kembali akrab kepada Allah s.w.t. Pencipta-Nya dan satu-satunya yang dapat memakbulkan seluruh permintaanya. Fokus serta tumpuannya dapat dipusatkan kepada Allah s.w.t. Maka bertambah khusyuklah dia, serta jadilah dia manusia yang memiliki sifat taqwa. Dan orang-orang bertaqwa, seperti yang disebutkan Allah s.w.t dalam Firman-Nya, adalah orang-orang yang berjaya mencapai kemenangan.

Rujukan:

1) Al-Quran Karim

2) Syarah Hadith 40 – Imam Nawawi

3) Video Talk ‘Dakwah to Atheist/NonMuslim’ – Dr Bilal. Philip (http://www.youtube.com/watch?v=xHSomCYHDdM)

Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/ujian-peningkat-ketaqwaan/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s